14 DIS: Seramai 10 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terbabit insiden buli ditamatkan pengajian di institusi itu berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, berkata Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) membuat keputusan itu dalam mesyuaratnya hari ini selepas mengkaji kes berkenaan dengan teliti sebelum mengambil keputusan itu.
Beliau berkata MARA memandang serius kejadian buli yang berlaku dan hukuman yang diputuskan menunjukkan pihaknya tegas dan tidak berkompromi perbuatan membuli dalam kalangan pelajar di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan tajaan MARA.
“Keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa pelajar yang terbabit telah dimaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa berkenaan.
Baru-baru ini video tular memaparkan kejadian buli di sebuah MRSM dan perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis.
Siasatan awal polis mendapati, kejadian buli terbabit berlaku pada awal pagi antara jam 1 hingga 2 pagi 9 Disember lalu membabitkan mangsa dengan beberapa suspek lain yang semuanya adalah pelajar Tingkatan 1 berusia 13 tahun.
Azhar berkata, keputusan itu bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pelajar yang terbabit, namun perlu dijadikan teladan oleh pelajar lain agar perkara sama tidak diulangi membabitkan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.
Katanya, MARA semestinya mahu melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan, namun pada masa sama mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik agar diterima oleh masyarakat.
“MARA sentiasa komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.”
“Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan melalui aktiviti pelajar ia termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang,” katanya.