KUALA LUMPUR – Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang tular selepas tersilap menunjukkan isyarat ‘mini love’ ketika perarakan Hari Kebangsaan ke-65 di sini, kelmarin tampil memohon maaf.
Lelaki itu membuat permohonan maaf itu menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya, semalam atas keterlanjuran anaknya menunjukkan isyarat jari tengah tanpa sengaja.
Katanya, beliau memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selaku bapa kepada kanak-kanak yang tersilap menunjukkan isyarat ‘mini love’ itu.
“Dia sebagai peminat bomba memang excited (teruja) sangat dapat terlibat dalam perbarisan kemerdekaan walaupun bangun pukul 5 pagi. Dari semalam (kelmarin) excited sangat dapat pakai baju bomba.
“Saya sebagai bapa tetap bangga akan keberaniannya turut serta walaupun bidan terjun,” tulisnya.
Menerusi hantaran berasingan, beliau turut memohon jasa baik netizen supaya memadam video dimuat naik di laman sosial dan menghentikan kecaman dilemparkan terhadap anaknya.
“Saya memohon sepuluh jari agar video itu dapat diturunkan agar tidak lagi dikecam dan menjadi asbab masalah psikologi kepada anak saya.
“Mungkin dengan jasa baik sebesar ini Allah Taala memuliakan serta menambah rezeki yang nampak dan tidak nampak di mata. Amin Ya Rabb,” tulisnya.
Sejak kelmarin, tular video kanak-kanak lelaki menunjukkan isyarat jari tengah dan bukan ‘mini love’ seperti yang sepatutnya ketika perarakan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 di Dataran Merdeka, di sini.