PENYERANG muda Manchester City, Erling Haaland mencetuskan fenomena apabila terus mencipta rekod termasuk rekod jaringan terkini musim ini.
Berikutan itu, kehidupan harian penyerang berusia 22 tahun itu turut mendapat perhatian ramai dan terkini dia turut mendedahkan diet pemakanannya.
Perkara itu didedahkan pemain berkenan dalam dokumentari “The Big Decision” yang disiarkan baru-baru ini.
Dalam dokumentari itu, yang boleh ditonton menerusi saluran YouTube, pengacara berasa hairan apabila Haaland mengeluarkan pelbagai produk daging yang dibungkus.
“Adakah ini hati?” soalnya kepada pemain bola sepak Norway itu.
“Ya, itu adalah hati,” jawab Haaland sambil tersenyum.
Seperti yang diperkatakan di England, Haaland makan sekitar 6,000 kalori sehari untuk memastikan tubuhnya dalam keadaan terbaik.
“Anda tidak makan ini, tetapi saya mengambil berat mengenai menjaga tubuh badan saya.
“Saya fikir makan makanan berkualiti tempatan mungkin satu perkara yang paling penting. Orang kata daging tu teruk, tapi…Yang mana satu? Daging yang anda beli di McDonald’s? Atau lembu tempatan yang makan rumput? Saya makan jantung dan hati.”
Haaland kemudian berbicara mengenai kepentingan menjaga rutin sehariannya. Warga Norway itu bercakap tentang sistem penapisan airnya dan menekankan kepentingan cahaya matahari.
Dia menjelaskan dia cuba berjemur sebaik sahaja bangun pagi selain menyebut mengenai irama sirkadian untuk mengawal corak tidur dan bangun pagi.
Haaland telah menjaringkan 15 gol dalam sembilan penampilan Liga Perdana Inggeris bersama City, jauh meninggalkan penjaring gol kedua terbanyak Harry Kane yang menyumbat lapan gol.