BALING – Gejala sakit perut namun sukar untuk membuang air besar menjadi petanda seorang remaja berusia 14 tahun sarat mengandung.
Segalanya terbongkar apabila ibunya membawa pelajar tingkatan dua itu mendapatkan rawatan di Hospital Baling semalam.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, ibunya berusia 40-an itu terkejut apabila doktor memberitahu anaknya mengandung dan bakal melahirkan anak.
Selepas dua jam dimasukkan ke hospital, doktor memaklumkan kepada ibunya yang remaja perempuan terbabit disahkan selamat melahirkan bayi perempuan cukup sifat.
Menurut sumber, ibu pelajar berkenaan yang masih terkejut dengan keadaan itu kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki yang anaknya menjadi mangsa rogol sehingga hamil dan melahirkan anak.
“Hasil keterangan yang diambil, wanita terbabit memberitahu anaknya mengadu tidak boleh membuang air besar sebelum dia melihat darah turun di kaki remaja terbabit ketika berada di rumah mereka.
“Wanita itu juga mendakwa dia sebelum ini menyedari perubahan bentuk fizikal badan anaknya itu sejak tiga bulan lalu namun remaja berkenaan menafikan dia hamil dan hanya memberitahu berat badannya naik.
“Bagaimanapun, wanita terbabit yang bimbang selepas melihat darah yang meleleh di paha anaknya terus membawa remaja berkenaan ke hospital,” katanya.
Menurut sumber, susulan daripada laporan polis itu polis mengambil keterangan daripada pelajar berkenaan dan dia mendakwa ada melakukan hubungan seks dengan dua lelaki berusia 20-an yang juga tinggal di kampung sama dengannya.
“Mangsa mendakwa dia ada melakukan hubungan seks dengan rela sebanyak tiga kali bersama dua lelaki terbabit sejak Februari lalu selepas mengenali mereka melalui rakan perempuan di sekolahnya.
“Remaja itu bagaimanapun mendakwa dia mengesyaki anak yang dilahirkan itu adalah hasil hubungan seorang daripada lelaki terbabit kerana mendakwa mereka kerap melakukan hubungan seks selepas itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shamsudin Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.