1,400 korban gempa bumi di Turkiye, Syria

DIYARBAKIR (TURKIYE): Sekurang-kurangnya 1,400 maut dalam tragedi gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud di Turkiye dan Syria hari ini.

Gempa bumi itu melanda pada jam 4.17 pagi waktu tempatan pada kedalaman sekitar 17.9 kilometer berhampiran bandar Gaziantep yang dihuni kira-kira dua juta penduduk di Turkiye, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, sekurang-kurang 912 maut di Turkiye.

Lebih membimbangkan, gempa bumi pertama awal pagi tadi diikuti lebih 50 gempa susulan, yang melanda pada tengah hari ketika pasukan bertungkus-lumus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Pusat Gempa Bumi Nasional Syria, Raed Ahmed, memberitahu radio prokerajaan bahawa ‘ia adalah gempa bumi terbesar pernah direkodkan dalam sejarah pusat itu.’

Orang ramai membantu mencari mangsa di bawah runtuhan bangunan.

Wartawan AFP dan saksi berkata, gegaran lanjutan itu dirasai hingga sejauh ibu kota Turkiye, Ankara, dan bandar Irbil di Iraq.

Media dan anggota penyelamat di Syria pula memaklumkan, sekurang-kurang 592 terkorban di negara itu yang turut menyaksikan bangunan ranap dalam insiden kali ini.

Rakaman disiarkan televisyen menunjukkan penduduk Turkiye yang kelihatan terkejut dan trauma dengan insiden itu.

SAR sedang giat diteruskan di beberapa bandar utama, namun berdepan cabaran cuaca buruk musim sejuk dengan ribut salji yang melitupi jalan-jalan utama.

Seorang mangsa terselamat di Syria, Osama Abdel Hamid, berkata beliau sekeluarga sedang tidur ketika gempa bumi melanda.

“Saya segera mengejutkan isteri dan anak-anak sebelum kami berlari ke arah pintu sebelum keseluruhan bangunan runtuh,” katanya.

Jurucakap Pertahanan Awam Syria, Ismail Alabdallah, berkata pasukan SAR masih giat meneruskan usaha mengesan dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri terperangkap di bawah rumah.

“Banyak bangunan runtuh di bandar dan perkampungan sekitar barat laut Syria. Malah hingga kini, masih banyak mangsa terperangkap di bawah runtuhan,” katanya. – AFP

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles