Karnival Keusahawanan EXIM Bank buka peluang perniagaan lebih luas kepada komuniti pekak

KUALA LUMPUR – Karnival Keusahawanan EXIM Bank Malaysia Berhad dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD)  yang berlangsung di sini, secara tidak langsung membuka peluang perniagaan lebih luas kepada komuniti pekak.

Karnival selama tiga hari itu bukan sahaja memperlihatkan penglibatan para usahawan komuniti pekak, malah menjadi tumpuan orang ramai yang  bekerja sekitar Jalan Sultan Ismail di sini.

Sebanyak 10 ‘booth’  dipamerkan oleh usahawan orang pekak termasuk dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Bagi MFD, antara barangan yang diketengahkan termasuk baju T dengan tertera bahasa isyarat, buku poket bahasa isyarat dan barangan cenderamata yang lain.

 Karnival itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi EXIM Bank, Hasrin Abdul Rahim dengan kehadiran Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Sha’ari.

‘Booth’ kuih koci yang diusahakan oleh orang pekak menjadi tumpuan para pengunjung di Karnival Keusahawanan EXIM Bank – MFD di Kuala Lumpur.

Hasrin dalam ucapannya berkata, karnival itu julung kali diadakan melibatkan komuniti pekak.

Jelas beliau, ia bukan sekadar menandakan bermulanya sebuah program keusahawanan, malah mencerminkan usaha bersama yang erat.

Menurutnya, karnival itu mampu memperluaskan peluang ekonomi, memperkukuh keusahawanan yang inklusif serta membuka lebih banyak ruang kepada usahawan untuk berkembang.

“Sebagai Institusi Kewangan Pembangunan, peranan EXIM Bank melangkaui penyediaan pembiayaan. Kami turut memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi melalui pemerkasaan komuniti, pembangunan kapasiti dan jalinan kerjasama strategik,” katanya.

Tambahnya, karnival ini menjadi platform kepada usahawan daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, di samping memperluaskan rangkaian perniagaan, meneroka peluang baharu serta meningkatkan daya saing.

Sebahagian pengunjung yang memeriahkan Karnival Keusahawanan EXIM Bank – MFD di Kuala Lumpur.

“Kerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia turut mencerminkan usaha memastikan komuniti orang pekak mendapat akses yang lebih luas kepada peluang keusahawanan, pembangunan kapasiti dan pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Sazali dalam ucapannya berkata, karnival itu  merupakan langkah permulaan bukan sahaja dari segi kerjasama antara EXIM Bank dan MFD, malah membuka peluang lebih luas kepada keusahawanan orang pekak.

“MFD mengucapkan jutaan terima kasih kerana EXIM Bank memberi peluang kepada usahawan orang pekak memperkenal serta memperluaskan lagi perniagaan mereka.

“Menjadi harapan MFD agar kerjasama ini dapat diteruskan terutama menjelangnya sambutan Hari Orang Pekak Antarabangsa yang akan disambut pada September depan,” katanya,

Hasrin Abdul Rahim (kiri) bersama Mohamad Sazali Sha’ari (kanan) menandatangani baju T sebagai gimik peluncuran Karnival Keusahawanan EXIM Bank – MFD di ibu pejabat EXIM Bank, Kuala Lumpur.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles