GEORGE TOWN – Seorang lelaki dan seorang wanita melafazkan syahadah dalam program ‘Dakwah Jalanan’ yang dikendalikan oleh Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT).
Mereka mengucapkan dua kalimah syahadah setelah berfikir panjang dan mendapat penerangan dalam banyak perkara termasuk soal akhirat dan rezeki.
Khaw Boon Cheng, 73, dan Tan Ai Theng, 50, mengucapkan syahadah yang dipimpin oleh Penaung IKUT, Zolkifly Md. Lazim.

Bagi Boon Cheng, perjalanan hidupnya yang banyak merantau bagi mencari kesuaian hidup termasuk ke Singapura, memilih Islam sebagai cara hidup setelah yakin dan mendapatkan maklumat dari rakan-rakan Islam.
“Saya pernah bekerja di Singapura sejak sekian lama, namun pendapatan yang lumayan bukanlah sesuatu yang dapat memberi kebahagian nyata.
“Apabila saya disahkan mengalami barah kulit, barulah saya terfikir apa akan jadi pada pengakhiran hidup ini.
“Kini saya sudah bersyahadah. Hati dan jiwa saya tiba-tiba merasa tenang. Saya yakin Allah SWT akan bantu saya dalam setiap rintangan yang dilalui,” katanya.
Sementara itu, Ai Theng berkata, Islam mengajar dirinya supaya jangan mudah berputus asa.
Dia yang mempunyai seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 10 tahun, kini lebih bersemangat untuk memastikan anaknya itu terus terbela.
“Saya mendapat banyak maklumat bahawa Islam mengajar saya, sebagai ibu, kita jangan mudah berputus asa.
“Anak yang dikurniakan ini adalah anugerah dan amanahy dari Allah SWT. Saya yakin Islam akan menjaga hak-hak anak OKU ini,” katanya.

Sementara itu, Zolkifly berkata, dua mualaf berkenaan sebelum memeluk Islam telah diberi penerangan termasuk tiada sebarang paksaan untuk berbuat demikian.
“Mereka faham dan secara sukarela memilih Islam sebagai cara hidup. IKUT akan sentiasa memantau serta membantu keperluan hidup mereka ini,” katanya.
