fbpx

Gunung di Arab Saudi dilanda salji

3 JAN: Sebuah gunung di Arab Saudi, Jabal al-Lawz, Tabuk bertukar putih apabila diseliputi salji sejak awal pagi Sabtu lalu.

Salji di gunung yang mempunyai ketinggian lebih 2,500 meter di wilayah barat laut Arab Saudi berhampiran sempadan Jordan itu agak tebal susulan cuaca sejuk melampau dan hujan.

Suasana pelik itu menyebabkan ramai tertarik untuk menyaksikannya sendiri dengan kanak-kanak tidak melepaskan peluang bermain salji dan mengambil gambar yang dikongsi di media sosial.

Menurut saluran stesen televisyen satelit Al-Ekhbariya, salji terus melanda sehingga semalam manakala Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi menyatakan bahawa ribut petir akan melanda beberapa wilayah sehingga hari ini.

Menurut NCM lagi, ribut petir serta hujan dan hujan batu dijangka berlaku di Makkah, Al Bahah, Riyadh, Al Qassim dan beberapa kawasan lain.

Masyarakat tempatan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan dan menikmati salji di sebuah gunung di Tabuk, Arab Saudi.

Susulan perkembangan itu, NCM mengeluarkan ramalan ribut petir dalam beberapa hari seterusnya disertai angin kencang di Asir, Jazan, Al-Madinah, Hail, sempadan utara dan Al-Jawf serta wilayah Tabuk.

Selain itu, salji juga dijangka memenuhi kawasan di Jabal al-Lawz serta pergunungan Al Dhahr dan Alqan pada awal Ahad, dengan suhu dijangka turun di bawah 0° Celsius.

Dengan perkembangan itu, Pertahanan Awam Arab Saudi menggesa pelawat dan penduduk Tabuk supaya berwaspada dalam keadaan penglihatan yang terhad dan kemungkinan hujan lebat serta guruh berterusan sehingga Isnin.

Pada tahun lalu dan 2019, wilayah Tabuk turut diselimuti salji akibat suhu terlampau sejuk.

Pada 25 November lalu, beberapa wilayah di utara Arab Saudi juga dilitupi salji, sebahagian besarnya di Qurayyat, di mana penurunan suhu ketara dicatatkan. – AGENSI

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles