fbpx

Suami isteri ditahan miliki sijil vaksinasi COVID-19 palsu

13 JAN: Sepasang suami isteri yang juga penjawat awam di Alor Gajar mengaku membeli pada harga RM500 seorang sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu.

Tindakan tersebut memakan diri apabila mereka dan seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja di jabatan sama dipercayai orang tengah ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata penipuan pasangan berusia 38 dan 33 tahun itu terbongkar selepas mereka mengemukakan sijil vaksin lengkap dua dos itu kepada ketua jabatannya sebagai syarat untuk menerima bonus tahunan.

“Aplikasi MySejahtera yang berstatus vaksin lengkap dua dos itu dicurigai palsu, menyebabkan pihak jabatan mengutus surat kepada Klinik Kesihatan Rembia untuk membuat semakan mengenai status vaksin pasangan berkenaan pada 31 Disember lalu.

“Maklum balas daripada klinik berkenaan pada 5 Januari lalu mengesahkan kedua-dua pasangan suami isteri itu tidak pernah menerima apa-apa vaksin, sekali gus membuktikan mereka menipu pihak jabatan dalam memalsukan dokumen dalam aplikasi MySejahtera mengenai penerimaan vaksin lengkap dua dos,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Arshad berkata, menahan pasangan suami isteri dan orang tengah berkenaan di sekitar negeri ini, Selasa lalu dan merampas telefon bimbit semua suspek.

Katanya, semua suspek ditahan reman tiga hari berakhir hari ini.

“Dari siasatan awal kami, suami isteri mengaku membeli dan memuat turun sijil vaksin palsu melalui orang tengah dengan harga RM500 setiap seorang.

“Hasil soal siasat, orang tengah berkenaan mendapatkan muat turun aplikasi sijil vaksin lengkap dua dos palsu itu daripada seorang suspek yang masih bebas dikenali sebagai `Vnilai’.

“Polis masih memburu suspek keempat (Vnilai) dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebatan,” katanya.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles