KUALA LUMPUR – Kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan agak tenat.
Berita itu disampaikan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, dalam hantaran melalui Instagram milik beliau hari ini.
Menurutnya, Ainul Mardhiah sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU).
Nurul Erwani berkata, Ainul Mardhiah mula menunjukkan simptom muntah dan cirit-birit sebelum dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans.
“Ainul mula dengan muntah dan cirit-birit dalam masa sehari. Hari kedua, mama tengok Ainul sudah tidak bermaya sebab nampak lain sangat keadaan Ainul kali ini dan terus bawa ke Jabatan Kecemasan.
“Selepas pemeriksaan dilakukan, doktor memaklumkan jangkitan sudah merebak ke seluruh tubuh. Satu badan dipenuhi dengan wayar,” katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai bahawa virus sudah dekat mana-mana, walaupun duduk rumah saja dan menjaga kebersihan ia tetap boleh menjangkiti.