BEKAS pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei akhirnya membuat ‘penampilan sulung’ di Singapura, hari ini.
Bagaimanapun, penampilan Chong Wei kali ini begitu unik iaitu dalam bentuk patung lilin.
Chong Wei, 38, muncul atlet Malaysia pertama menghiasi Muzium Madame Tussauds, sekali gus meletakkannya sebaris dengan legenda bola sepak seperti Cristiano Ronaldo dan David Beckham.
Pada November 2019, Chong Wei ‘duduk’ selama enam jam ketika pasukan Madame Tussauds mengambil 200 ukuran atlet berkenaan dengan teliti.
Pada Januari 2020, Chong Wei diumumkan akan diabadikan dalam bentuk patung lilin di muzium Madame Tussauds Hong Kong.
Pemilihan tersebut turut disumbangkan oleh kejayaannya memegang rekod menghuni ranking No. 1 dunia selama 349 minggu – 199 minggu secara berturut-turut.
Beliau juga memiliki 69 gelaran Siri Super, selain mewakili Malaysia sebagai duta muhibah UNICEF.