fbpx

Rishi Sunak dipilih PM Britain dirai masyarakat India

NEW DELHI – Masyarakat India meraikan sambutan Deepavali dengan lebih bermakna selepas Rishi Sunak yang berasal dari India dipilih sebagai Perdana Menteri Britain bukan kulit putih pertama.

Laman sosial dibanjiri dengan ucapan tahniah buat pemimpin berusia 42 tahun yang juga bekas Menteri Kewangan Britain.

Turut mengucapkan tahniah Perdana Menteri, Narendra Modi yang menyifatkan detik pemilihan Sunak sebagai Perdana Menteri lebih istimewa kerana ia menjadi simbolik bagi sambutan 75 tahun kemerdekaan India daripada penjajahan British.

Sunak, 42, dijangka mengambil alih kepemimpinan di Britain secara rasmi hari ini selepas pesaingnya, Boris Johnson dan Penny Mordaunt menarik diri daripada persaingan bagi menggantikan Liz Truss sebagai ketua parti Konservatif.

Truss meletak jawatan selepas sebulan setengah mentadbir negara itu selepas kehilangan sokongan.

Kejayaan Sunak ternyata mendapat perhatian khususnya oleh India apabila wajahnya terpampang di muka depan akhbar negara itu.

Modi, turut menganggap pelantikan Sunak sebagai Perdana Menteri mampu menjadi jambatan bagi hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, ia termasuklah pelan bagi meningkatkan perdagangan dan hubungan penting lain antara dua negara.

“Sebagai pemimpin baharu United Kingdom (UK), saya berharap kerjasama rapat dalam isu global dapat dilaksanakan khususnya dalam aspek Pelan Hala Tuju 2030.

“Ucapan istimewa Deepavali ditujukan buat penghubung antara India dan UK, di mana hubungan sejarah dua negara ini boleh ditranformasikan kepada rakan kongsi moden,” katanya.

Keluarga Sunak mula berhijrah ke Britain pada 1960-an, yang memerintah India selama kira-kira 200 tahun sebelum negara Asia Selatan itu mencapai kemerdekaan pada 1947.

Sunak yang juga bekas Canselor Perbendaharaan British, dilihat meraikan sambutan Deepavali dengan menyalakan lilin di luar pekarangan ‘Downing Street’ iaitu pejabat rasminya. – Agensi

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles